Isnin, 6 Mac 2017

jus lempoyang

Air Jus Lempoyang

Bahan ekstrak halia hutan atau lempoyang boleh digunakan sebagai penawar kanser pangkal rahim iaitu penyakit kedua paling ditakuti wanita selepas barah payu dara. Penemuan itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun Makmal Penyelidikan Kanser Makna, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati tumbuhan herba liar tersebut terbukti mampu melawan sel kanser pangkal rahim pada peringkat awal. Penyelidiknya, Dr. Ahmad Bustamam Abdul berkata, kajian makmal menunjukkan penggunaan spesies halia itu dalam dos yang betul boleh menyembuhkan penyakit dalam tempoh tidak sampai 72 jam. Katanya, kajian praklinikal membuktikan sebatian semula jadi herba tempatan itu mampu menghalang perkembangan kanser sehingga fasa tiga.
-------------------------------------------------------------
Aku terjumpa artikel ini dari akhbar kosmo 20-11-2011.
--------------------------------------------------------------

Membaca kenyataan itu sebenarnya membawa ingatan aku kepada zaman akau masih anak-anak. Dulu kami adik-beradik paling kurang sebulan sekali mesti diperintah untuk meminum air jus lempoyang. Lempoyang akan diparut, dicampur dangan sedikit air dan kemudian ditapis. Sebelum minum akan dicampur dengan seketul garam jantan (garam kasar disebut garam jantan, mungkin garam betina garam yang halus. He...he....he.....). Menurut emak supaya tidak ada cacing dalam perut. Hidup dalam kekangan kewangan yang amat sempit membuat kami tidak mampu membeli ubat cacing.

Kalau di sekolah pula bila ada pihak kementerian kesihatan datang dengan ambulan dan murid-murid beratur akan disuap sesudu ubat cacing. Aku lebih suka minum ubat cacing ini sebab rasanya manis. Jadi bulan tersebut selamat tidak perlu minum air jus lempoyang. Ada satu kenangan disebalik minum ubat cacing yang tidak dapat aku lupakan. Ada seorang rakan sekelas aku punyalah takut dengan jururawat hingga terkencing dalam seluar. Itu bukan lagi kes bila beratur untuk suntikan. Tangisan mesti akan kedengaran.

Anak sekarang, lahir saja segalanya telah terhidang. Suntikan, ubat-ubatan mudah untuk mendapatkannya. Walau bagaimanpun betapa anak-anak dahulu begitu kuat antobodinya berbanding anak-anak sekarang. Dulu aku walau bermain air hujan tidak pun demam. Siap boleh main kejar-kejar lagi. Anak sekarang baru kena gerimis demamnya memanjang. Tidak dapat aku bayangkan kalaulah ibu-bapa aku yang mempunyai lapan orang anak silih berganti sakit-demam bagaimana agaknya. Kalau disuruh minum air jus lempoyang banyak alasan diberi. Rasanya bukanlah pahit sangat. Ianya adalah rasa payau dan sedikit pahit.
Keluarga aku memang masih mempraktikan minum air jus lempoyang. Pokok itu juga masih aku tanam dan selalu juga mereka yang dalam pantang selepas bersalin akan minta untuk dijadikan jamu. Buat aku sebulan sekali selepas ABC (Allah beri cuti) air jus lempoyang menjadi satu kemestian. Segelas saja sudah cukup untuak membuat badan kembali segar. Hendak melihat cara menyediakannya sila lihat paparan gambar di bawah ini.

Membiak - Pokok lempoyang ini membiak tanpa penjagaan. Hubby tanam di luar pagar sewaktu mula membeli rumah yang kini kami sewakan kepada orang lain untuk memdudukinya.

Lempoyang - Inilah hasil yang telah dicabut. Penuh diselaputi tanah.
Akar - Lempoyang muda terikut sama. Aku tidak menggunakan yang muda.

Letup-letup - Tanda pokok lempoyang tidak berjaga. Pokok menjalar ini menumpang hingga boleh menghasilkan banyak buah.
Kekuasaan Allah - Cantik pulak kelihatan pokok letup-letup ini. Maha kaya Allah menjadikan berbagai-bagai jenis tumbuhan yang tidak terjangkau di akal fikiran kita.
Bersih - Lempoyang yang telah dibuang akar dan kulit akan kelihatan seperti halia.
Parut - Setelah dibersihkan lempoyang diparut. Aku masih mengekalkan tradisi keluarga menggunakan parut bukan blender.
Campuran - Setelah diparut tuangkan dengan sedikit air dan kacau-kacau.
Saring - Setelah dicampur dengan sedikit air bolehlah disaring atau tapis.
Siap - Segelas air jus lempoyang untuk diminum. Sebelum minum ambil seketul garam jantan (garam kasar), kacau (kerana jus akan mendak) barulah boleh minum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan